Mustaqim Azeni, 18, berkata, dia menemui bom itu kira-kira pukul 9.45 pagi ketika sedang mengorek dan menggali longkang sebelum cangkul yang digunakannya tersangkut pada objek berkenaan.

"Saya kemudiannya memeriksa dan mengangkat bom itu ke atas lalu memberitahu penyelia dan rakan-rakan lain.

"Saya tidak menyangka bahawa objek itu merupakan bom lama yang diliputi dengan rumput," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustaqim menambah, dia kemudian menghubungi Dewan Bandaraya Kuching Utara sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan, bom itu seberat kira-kira 1 kilogram dan polis sudah pun mengambil objek tersebut untuk tindakan selanjutnya. - K! ONLINE