Dalam kejadian lebih kurang pukul 4 petang itu, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, kira-kira pukul 4.06 petang tadi pihaknya menerima maklumat mengenai seorang remaja dikatakan terjatuh dari bangunan Megalong dekat sini.

"Hasil siasatan awal mendapati pelajar tingkatan empat itu disyaki terjun dari gedung terbabit sebelum dia ditemui tidak sedarkan diri di jalan raya bersebelahan bangunan berkenaan.

"Susulan insiden itu, pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan remaja itu telah meninggal dunia dan keluarga mangsa segera dihubungi bagi proses pengecaman mayat," katanya di sini sebentar tadi.

Tambah Mohd. Haris, orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan pihak polis.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. - K! ONLINE