Inspektor Mohamad Afiq Sarmid daripada pasukan komando VAT 69 berpangkalan di Ulu Kinta, Perak yang merupakan saksi ke-17 RCI berkata, penemuan itu membawa kepada penahanan lima orang pendatang tanpa izin pada kira-kira 200 meter dari tapak penempatan tersebut.

Menurutnya, operasi melibatkan 24 anggota digerakkan bermula 11 Mac 2015 susulan penemuan kem penempatan dan kubur di Bukit Wang Burma pada Januari 2015 dengan skop tugasan mereka adalah untuk mengesahkan sama ada terdapat penempatan pendatang tanpa izin di kawasan Genting Perah.

"Pergerakan kami untuk sampai ke tempat penempatan itu mengambil masa dan hanya ditemui pada hari ketiga iaitu pada 13 Mac," katanya yang diarahkan oleh Pegawai Turus Risikan untuk mengetuai pasukan  masuk ke hutan Genting Perah untuk melakukan pencarian dan penggeledahan.

Mohamad Afiq yang kini bertugas selaku Pembantu Pemerintah Skuadron Delta VAT 69 berkata kesemua khemah yang ditemui itu merupakan khemah lama yang diduduki pendatang tanpa izin berdasarkan struktur yang hanya tinggal rangka. - Bernama