Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zul Aznan Haron berkata, arahan itu diterimanya selepas beliau menghubungi Khalid menerusi panggilan telefon pada 20 Januari 2015.

Dalam perbualan itu, Zul Aznan berkata, beliau memaklumkan mengenai penemuan kem penempatan sementara, penangkapan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penemuan struktur tanah menyerupai kubur di Bukit Wang Burma oleh anggota Pasukan Gerakan Am  (PGA) selepas tinjauan dan serbuan ke lokasi tersebut pada 19 Januari 2015.

"Selepas diberi taklimat oleh timbalan saya iaitu Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, saya menghubungi Ketua Polis Negara bagi memaklumkan mengenai perkara itu dan Tan Sri Khalid mengatakan 'Hold On' dengan alasan perkara itu memerlukan persediaan dan penelitian lebih teliti.

"Itu perbualan terakhir saya dengan Khalid dan saya beranggapan apabila dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, kes itu akan diberi perhatian oleh Bukit Aman," katanya yang hadir sebagai saksi ke-16 pada prosiding hari kelima itu. - Bernama