Md Zukir berkata, arahan yang dikeluarkan semasa beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan Ketua Polis Perlis pada 20 Januari 2015 itu adalah untuk memastikan penempatan tersebut tidak boleh digunakan semula oleh pendatang tanpa izin pada masa akan datang.

Arahan itu, katanya dikeluarkan selepas mendengar taklimat oleh Komandan Kompeni B, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), ASP M. Joeking yang memaklumkan telah menemui kem penempatan dan menahan 38 pendatang tanpa izin, pada mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi keselamatan lain.

Saksi ke-13 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian itu berkata, pada mesyuarat tersebut, Joeking turut memberitahu tentang kewujudan struktur tanah yang menyerupai kubur dan ekoran itu, beliau mengarahkan supaya siasatan lanjut dibuat bagi memastikan kesahihan kandungan di bawah struktur tanah itu.

Menurut Md Zukir, berdasarkan aturan, arahan beliau pada mesyuarat tersebut adalah untuk menyiasat kesahihan struktur tanah menyerupai kubur terlebih dahulu sebelum merobohkan khemah berkenaan. - Bernama