Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, rangka dipercayai lelaki berdasarkan cebisan pakaian yang dipakai itu dijumpai orang awam kira-kira pada pukul 3 petang. 

“Berdasarkan pemerhatian polis di tempat kejadian, berkemungkinan lelaki tersebut telah meninggal dunia sejak sebulan yang lalu. 

“Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan polis akan melihat rekod laporan orang hilang terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Ismail, terdapat laporan orang hilang yang melibatkan orang kelainan upaya (OKU) sebelum ini dan polis akan menghubungi keluarga tersebut. 

“Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) terhadap keluarga berkenaan dan mangsa akan dilakukan terlebih dahulu sebelum pengesahan dapat dibuat. 

“Rangka tersebut telah dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan esok,” katanya. 

Katanya, pihaknya akan mengklasifikasikan kes berkenaan selepas laporan bedah siasat diperolehi. - K! ONLINE