Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kebanyakkan penjawat awam yang ditahan merupakan golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

"Kesalahan rasuah yang banyak berlaku ini membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

"Kajian dilaksanakan SPRM mendapati, 22.1 peratus daripada responden penjawat awam sanggup menerima rasuah sekiranya mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan," katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama kerajaan negeri Selangor di sini hari ini.

Justeru, beliau menegaskan perkara tersebut mesti diperbetulkan agar kesalahan rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan sama sekali.

Terdahulu, seramai 10 Exco kerajaan Selangor diketuai Menteri Besarnya, Amirudin Shari melafaz dan menandatangani IBR sebagai tanda komited menentang sebarang perlakuan tidak berintegriti dalam kalangan ahli politik di negeri ini. - K! ONLINE