Mangsa, Abd. Wahab Yahaya, 56, turut berdepan kesukaran setelah keluarga kepada warga Thailand yang maut itu menuntut pampasan bernilai RM200,000.

Anak sulungnya, Hasanah berkata, permohonan ayahnya untuk pulang sementara ke negara ini diluluskan atas permintaan pihak keluarganya dan juga sokongan daripada kerajaan Malaysia

“Ia disebabkan faktor kesihatan dan ayah juga perlu menjalani rawatan susulan di Malaysia.

“Bagaimanapun, ayah perlu kembali ke Krabi, Thailand untuk sesi perbicaraan yang belum ditentukan oleh pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Abd. Wahab dijangka pulang ke Malaysia pada Khamis ini.

Mengulas tentang sesi di mahkamah Thailand pada Rabu ini, Hasanah menjelaskan bahawa ia hanya untuk melapor diri di mahkamah.

Kosmo! pada 1 Januari lalu melaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Abd. Wahab dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, yang menunggang sebuah motosikal dipercayai telah terlanggar seorang pejalan kaki di Jalan Aonang di Krabi ketika datang bercuti di pusat peranginan tersebut.

Berdasarkan undang-undang di negara itu, penunggang motosikal atau pemandu kende­raan adalah didapati bersalah jika terlibat dalam kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Sehingga masa kini, jumlah kutipan untuk membayar pampasan tersebut masih berjumlah RM80,000 dan sebarang sumbangan boleh disalurkan di akaun kepada akaun Maybank Hasanah iaitu 512875516248. - K! ONLINE