BNM berkata walaupun faktor budaya dan sifat kerja itu sendiri berperanan dalam menghalang penglibatan pekerja tempatan, namun keadaan upah tempatan juga boleh menjadi penyebab.

Daripada kira-kira 200,000 penduduk Malaysia yang berulang alik dari Malaysia ke Singapura, didapati bahawa 40 peratus daripadanya bekerja dalam kategori pekerjaan kemahiran sederhana dan rendah, demikian menurut artikel bertajuk "Kesan Herotan Pekerja Asing Berkemahiran Rendah terhadap Ekonomi' yang disiarkan dalam Laporan Tahunan 2017 BNM, yang dikeluarkan di sini, hari ini.  

BNM berkata ini termasuk pekerjaan yang tidak diminati seperti operator dan pemasang jentera dan mesin, tukang cuci dan pekerja kasar. 

"Dengan kata lain, dengan paras upah yang lebih menarik, tenaga kerja Malaysia akan sanggup membuat kerja-kerja 3D. 

"Meskipun ini hanyalah satu contoh, keadaan ini menunjukkan bahawa upah semasa di Malaysia mungkin terlalu rendah untuk menarik minat pekerja tempatan," kata bank pusat. 

Dalam artikel yang ditulis oleh Ang Jian Wei, Athreya Murugasu dan Chai Yi Wei itu, ia menyatakan para majikan juga mungkin enggan menaikkan kadar upah dengan adanya alternatif yang lebih murah dan banyak.

"Selagi upah untuk pekerja kolar biru terus menghadapi tekanan yang menurun, majikan tidak akan terdesak untuk mengambil langkah meningkatkan produktiviti," kata artikel itu. 

Akibatnya, Malaysia berisiko untuk terperangkap dalam kemelut upah dan kemahiran yang rendah.

Ini boleh dilihat menerusi analisis pewujudan pekerjaan mengikut kemahiran dari 2011 hingga 2017.

"Apabila semua faktor diambil kira, peratusan pekerjaan kemahiran rendah Malaysia telah meningkat kepada 16 peratus daripada 8 peratus pada 2002 kepada 2010. Malah, 73 peratus daripada pekerjaan yang diwujudkan pada 2015 hingga 2016 diisi oleh warga asing, dengan kebanyakan daripada mereka mempunyai pendidikan setakat sekolah menengah sahaja, " kata artikel itu. - Bernama