Titah Seri Paduka selain itu, rakyat Malaysia hendaklah juga mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

"Keamanan, kemajuan dan kemakmuran dinikmati oleh Malaysia bukan sesuatu yang boleh diambil ringan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai tanah airnya, sebarang usaha untuk menggugat keselamatan negara hendaklah dihindari dan dijauhi," titah Sultan Abdullah pada majlis Santapan Malam bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia yang bermastautin di sini malam ini.

Majlis bersama diaspora Malaysia itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan negara Sultan Abdullah selama tiga hari di Brunei bermula hari ini. Brunei merupakan negara sulung dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Lawatan berkenaan bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin lebih tiga dekad.

Turut berangkat mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam serta tetamu terdiri daripada pelajar, ahli akademik serta wakil Pertubuhan Kebajikan Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Warganegara Malaysia.

Seri Paduka bertitah kejayaan rakyat serta syarikat Malaysia di negara ini, tidak akan dinikmati tanpa sokongan dan persefahaman erat daripada kerajaan Brunei di bawah naungan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Dari aspek ekonomi, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan dan beroperasi di negara ini.

Seri Paduka bertitah kejayaan itu dicapai melalui dasar kerajaan Brunei dalam memudahkan iklim perniagaan di samping menggalakkan kemajuan ekonomi melalui kemasukan pelaburan langsung asing.

"Dalam konteks ini, saya ingin menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang telah memberi peluang kepada rakyat dan syarikat Malaysia untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara Brunei Darussalam," titah baginda.

Seri Paduka bertitah baginda dan Raja Permaisuri Agong berasa sukacita diberi ruang bertemu rakyat Malaysia di sini, kerana ia merupakan peluang penting bagi mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat, walau di mana mereka berada.

Titah Sultan Abdullah, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat akrab dan istimewa, didukung dengan ikatan erat dalam pelbagai aspek termasuk sejarah, agama, budaya, bangsa serta bahasa.

Sementara itu, Ismail dalam sembah ucapannya berkata terdapat 25,000 rakyat Malaysia bermastautin di negara ini, dengan 10,000 daripadanya golongan profesional antaranya dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran serta ahli perniagaan. - Bernama