Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, difahamkan pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat ancaman berkenaan dan bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya umat Islam diancam.

"Sehubungan itu, Kementerian Luar menasihatkan warga Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom supaya lebih berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Kementerian Luar menyarankan warga Malaysia yang berada di negara berkenaan melaporkan diri dengan pejabat Perwakilan Malaysia berdekatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu dan organisasi yang menggalakkan kebencian dan berterima kasih di atas keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam menangani ancaman itu.

"Kementerian Luar melalui Perwakilan Malaysia di negara berkenaan akan terus memantau ancaman ini dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan warga Malaysia terpelihara," katanya.

Sementara itu, warga Malaysia di negara berkenaan yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk berhubung dengan Perwakilan Malaysia.

Rakyat Malaysia di kedua-dua negara itu diminta supaya mematuhi segala peraturan dan arahan yang dilaksanakan pihak berkuasa polis dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan diri dan ahli keluarga.

Rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat lanjut dan bantuan Konsular Malaysia di negara terbabit dinasihati menghubungi perwakilan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia Washington D.C beralamat 3516, International Court N.W atau talian 1(202)572-9700
atau emel [email protected] - K! Online