Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, usaha menyelamatkan akhbar keramat tersebut boleh diterjemahkan menerusi pembelian daripada rakyat.

“Kita mahu mewujudkan gelombang sokongan rakyat melalui pembelian kedua-dua akhbar, langganan e-paper dan pengiklanan daripada pihak luar selain akan mencuba sebaik mungkin untuk menyediakan berita yang relevan kepada pembaca.

“Selain itu, kita juga mahu membawa mesej perpaduan serta menjadi media bertanggungjawab untuk berjuang dalam semua aspek dan bukannya digelar akhbar rasis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Utusan di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Abd. Aziz berkata, syarikat mengambil keputusan untuk menaikkan harga jualan bagi akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 kepada RM2 manakala Kosmo! pula dinaikkan kepada RM1.50 berbanding RM1 mulai Jumaat ini.

“Harga baharu tersebut membolehkan syarikat mendapat pulangan tambahan berjumlah RM2.3 juta sebulan menerusi penjualan minimum sebanyak 50,000 naskah Utusan Melayu dan 100,000 akhbar Kosmo!,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aziz juga menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya syarikat akhbar tersebut bakal menghentikan operasinya pada hari ini. - K! ONLINE