Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing itu 20 April lalu.

Menurutnya, mangsa mendapatkan rawatan luka anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan dinasihatkan pergi mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian.

"Namun, mangsa tidak pergi ke klinik tersebut sehinggalah pada 20 Mei lalu dia mendapatkan rawatan kerana sakit dan lemah di bahu kanan selama empat hari di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Mangsa menjadi semakin teruk dengan menunjukkan simptom halusinasi, demam dan hilang refleks pada kedua-dua tangannya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, anjing peliharaannya itu juga merupakan anjing liar yang diambil dan dipelihara bapa mangsa tiga minggu sebelum kejadian.

Katanya, anjing tersebut juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-rabies.

"Sejak pengisytiharan wabak rabies di sini 1 Julai tahun lalu, jumlah keseluruhan kes rabies melibatkan manusia seramai 11 orang yang menyaksikan 10 daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih di rawat," ujarnya.

Jelasnya, sehingga semalam, sebanyak 31 kawasan di negeri ini disahkan positif rabies. - K! ONLINE