Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sebahagian daripada jumlah mangsa yang terlibat akan dipindahkan ke dewan baharu esok.

Menurut Mohd. Azis, langkah pemindahan itu perlu dilakukan supaya mangsa berada dalam keadaan selesa dan bagi mengelakkan sebarang penularan penyakit.

"Keadaan di dewan ini agak kecil bagi menampung semua mangsa. Saya telah meminta mangsa dipecahkan kepada dua kumpulan dan ditempatkan di dewan baharu.

"Tindakan ini perlu dilakukan kerana enggan membiarkan mangsa dalam keadaan kurang selesa dan dikelilingi persekitaran kotor yang boleh mengundang kepada penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan di Dewan Serbaguna Likas di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Azis merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri memberitahu, sebuah lokasi baharu akan dikenalpasti untuk membina penempatan kekal bagi membina kediaman kesemua mangsa.

Katanya, perbincangan dengan kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan dilakukan untuk melaksanakan pembinaan penempatan baharu tersebut.

"Tapak lokasi kebakaran tidak akan dibangunkan semula. Kita akan membina penempatan baharu dengan dilengkapi kemudahan asas," jelasnya.

Tambahnya, pemberian bantuan berkenaan akan diberikan kepada manga yang merupakan warganegara Malaysia.

Pada Selasa lalu, sebanyak 150 buah rumah di kawasan setinggan hangus dalam kejadian kebakaran sehingga mengakibatkan lebih 700 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. - K! ONLINE