Program turun padang itu merupakan siri jelajah terakhir pada tahun 2017 dan kali ke-12 selepas Sungai Petani di Kedah dengan membawa slogan 'Menerajui Perubahan'.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pihaknya berharap program di Pulau Pinang mendapat sambutan lebih baik dengan jumlah pengunjung yang ramai.

Menurutnya, menerusi program tahunan ini kementerian telah berkongsi pencapaian, kejayaan dan kreativiti murid di bawah sistem pendidikan alaf baru.

"Pengunjung boleh menyaksikan perubahan yang berlaku ke atas pembelajaran murid melalui pameran serta persembahan kesenian termasuk tarian yang dibawa khas dari pelbagai jenis sekolah di negeri ini.

"Siri jelajah ini juga bertujuan merungkai pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa berkaitan pendidikan bermula dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Jelajah Pendidikan 2017 di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman.

Antara pameran yang diketengahkan seperti Projek Madu Kelulut daripada Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Sekolah Menengah Sains Tun Syed Shahabudin, Inovatif Interaktif Smart Iqra' untuk murid masalah penglihatan dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma dan Projek 1DCU dari Sekolah Kebangsaan Convent Pulau Tikus. - K! ONLINE