Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Afif Bahardin berkata, ia merupakan antara langkah inisiatif kerajaan negeri dalam melindungi penduduk Pulau Pinang khususnya daripada bahaya asap rokok.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan perancangan bergelar negeri bebas asap rokok dalam tempoh lima tahun akan datang berjaya dilaksanakan dan kami akan menggiatkan lagi pelaksanaan program kesedaran kepada orang ramai tentang larangan merokok di kawasan awam dan taman rekreasi.

"Kami bukan hendak sekat sesiapa merokok, sebaliknya mereka (perokok) boleh menghisap di kawasan yang dikhaskan dan bukan di kawasan orang ramai. Kini, ia (larangan merokok) telah dilaksanakan di masjid dan rumah ibadat yang lain (laksana larangan merokok)," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tembakau Sedunia 2018 peringkat Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah dan Pengerusi Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. T. Devaraj.

Afif berkata, ketika ini, enam taman awam dan rekreasi di sekitar negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu Empangan Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.

Katanya, usaha murni itu diteruskan dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia Georgetown sebagai kawasan larangan merokok bermula 4 Julai 2015.

"Cuma ketika ini kekangan untuk laksanakan larangan di seluruh Pulau Pinang adalah daripada pemilik kedai, restoran, kopitiam dan hotel, ada beberapa isu yang mereka bangkitkan dan kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikanya bagi merealisasikan Pulau Pinang bebas asap rokok," katanya. - Bernama