Berita menggembirakan itu dikongsi melalui laman rasmi Instagram pihak penerbit, Primeworks Studios sebentar tadi.

“Pulang kini telah melebihi RM1 juta. Terima kasih buat anda yang telah bersama-sama berlayar dan menyelami maksud sebenar cinta dan pengorbanan,” tulis kenyataaan tersebut dalam ruangan kapsyen.

Sementara itu, tunjang utama filem berkenaan, Remy Ishak atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak bersyukur dengan kejayaan filem tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu kejayaan yang membanggakan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Pulang sudah berjaya mengutip RM1 juta di panggung dan berharap orang ramai akan terus menyokong filem ini.

“Saya mendapat banyak maklum balas yang positif daripada penonton yang sudah membeli tiket dan menonton di pawagam. Hal ini membuktikan filem tempatan masih mempunyai tempat di hati orang tempatan,” kata Remy ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Filem Pulang arahan pengarah Kabir Bhatia mengisahkan Othman yang berlayar sebagai kelasi kapal bagi mencari kehidupan lebih baik untuk isterinya, Thom dan anaknya, Omar.

Filem yang menelan belanja pembikinan RM6 juta itu dibariskan pelakon handalan seperti Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson, Datuk Jalaluddin Hassan dan Alvin Wong. Latar belakang filem Pulang adalah berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku dalam keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios iaitu Datuk Ahmad Izham Omar. - K! ONLINE