Sebagai ganti, Vida atau nama sebenarnya, Datuk Seri Dr. Hasmida Othman berkata, dia akan menukarnya dengan Lavida Coin.

“Aishah mungkin tidak faham hadiah rantai berlian itu mempunyai nilai susut. Tidak mengapa, pulangkan semula kepada saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambahnya, berlian mempunyai grednya tersendiri dan ada ketikanya harga permata itu tinggi dan ia juga boleh susut nilai.

Vida berkata, sejak Aishah memuat naik status mengenai hadiah kemenangan itu dalam akaun sosial Instagram milik penyanyi tersebut, ia telah memberi reputasi buruk terhadap dirinya sebagai ahli perniagaan.

“Saya dicaci sebagai penipu melalui ruangan komen Instagram oleh orang ramai dan amat sedih dengan situasi tersebut sedangkan saya sekadar ingin membantu mereka di dalam industri hiburan.

"Gegar Vaganza diwujudkan atas ilham saya sendiri,  namun apa yang berlaku ini membuatkan saya tawar hati,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah tidak mempunyai hasrat untuk menaja program berkenaan musim hadapan, Vida berkata dia perlukan masa untuk memberikan keputusan.

Semalam, Aishah, 53, mendedahkan hadiah barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan Datuk Seri Vida sebenarnya tidak mempunyai nilai.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu turut memberitahu dia berasa terkilan apabila sehingga kini masih belum menerima lot tanah yang dijanjikan. – K! ONLINE