Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf berkata, peruntukan itu termasuk pembiayaan hadiah berbentuk pakej percutian keluarga ke mana-mana destinasi atau pakej umrah bernilai RM26,000 bagi pendeposit SSPN1M-i plus yang cabutannya ialah tiga bulan sekali.

"Pakej pelancongan atau umrah yang kita tawarkan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kita untuk menggalakkan lebih banyak keluarga menabung menerusi skim berkenaan yang ternyata memberi banyak kelebihan dan faedah untuk masa depan pendidikan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru peringkat Daerah Besut yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada majlis itu, Wan Ahmad turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah SSPN1M-i Plus bagi cabutan suku tahun pertama kepada Ibrahim Mamat, 52, dari Pasir Mas, Kelantan yang membawa balik hadiah pakej mengerjakan umrah bernilai RM26,000. - Bernama