Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, peruntukan undang-undang itu telah memberikan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

“Ada yang menyatakan mekanisme PGB adalah bertentangan dengan perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani. 

“Saya ingin nyatakan melalui perjanjian yang mereka tandatangani itu, peminjam telah bersetuju membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan PTPTN termasuk potongan gaji melalui majikan,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Wan Saiful memberitahu, pihaknya juga mendengar kegusaran para peminjam dan bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.

"Dasar baru ini bagi memastikan PTPTN dapat terus membantu generasi yang akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran yang memberitahu bahawa sehingga kini masih tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan majikan untuk berbuat demikian.

Wan Saiful memberitahu, pihaknya sentiasa prihatin dalam mendengar keperluan rakyat dan dasar baharu yang dibuat adalah bagi memastikan PTPTN dapat terus membantu generasi muda pada masa akan datang. - Bernama