Pengerusi PAC baharu, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penglibatan dua pihak itu bagi menyambung semula prosiding sebelum ini yang berlangsung di bawah bekas pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

"Kedua-dua mereka telah bersetuju untuk bersama kita dalam sambungan prosiding tersebut," katanya dalam sidang media sempena pelantikan beliau sebagai pengerusi baharu di bangunan Parlimen hari ini.

Noraini menggantikan Kiandee bagi memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan yang meletakkan jawatan itu kepada pembangkang, susulan tindakan Ahli Parlimen Beluran itu menyertai parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 15 Mac lepas.

Usul memilih Noraini sebagai Pengerusi PAC itu diterima oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Noraini mengharapkan sokongan ahli jawatankuasa PAC untuk bersama-sama menjalankan tugas yang diamanahkan tanpa berlandaskan kepartian.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Pembangkang, Anggota Parlimen Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mencadangkan nama saya dan juga blok pembangkang serta anggota Parlimen lain yang menerima usul ini sebulat suara.

"Terima kasih juga kepada bekas pengerusi PAC, Kiandee kerana menjalankan tugas yang begitu baik sepanjang empat bulan demi memajukan jawatankuasa ini serta bantuan rakan-rakan PAC lain," katanya.

Menjadi wanita pertama memegang jawatan itu, Noraini percaya kerjasama erat yang dipamerkan anggota PAC sejak beliau menyertai jawatankuasa itu pada Disember lepas akan memudahkannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi yang baharu.

"Menjadi wanita pertama sebagai pengerusi PAC bukan tugas mudah namun kerjasama baik untuk menilai semua kes yang dibawa kepada kami dianggap sebagai tanggungjawab bersama yang tinggi," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Kiandee berharap Peraturan Mesyuarat 85 dapat dipinda bagi memastikan mesyuarat prosiding PAC dapat diadakan secara langsung, selain pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan Laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat boleh dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

"Saya berharap pindaan ini akan menjadi kenyataan dalam sesi persidangan akan datang bagi memastikan rakyat memahami PAC benar-benar berfungsi untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dilakukan secara berhemat dan mengikut undang-undang," katanya. - Bernama