Difahamkan, Mohd. Azruldin yang mendermakan buah pinggang kiri kepada Mazlan akan tamat menjalani pembedahan mengeluarkan buah pinggangnya kira-kira pukul 3 petang.

Turut difahamkan, prosedur itu diikuti dengan pemindahan organ tersebut kepada Mazlan dan dijangka selesai kira-kira pukul 6 petang sekiranya tiada sebarang komplikasi ke atas pembedahan transplan berkenaan.

Kedua-dua adik-beradik itu kemudian akan dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi HKL untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Mazlan dan Mohd. Azruldin yang masing-masing merupakan anak sulung dan anak ketiga daripada empat adik-beradik dimasukkan ke wad pembedahan di HKL kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Kosmo! hari ini melaporkan kehebatan hubungan pertalian darah dalam sebuah keluarga terbukti apabila seorang adik sanggup berkorban dengan mendermakan buah pinggangnya demi menyelamatkan nyawa seorang abang.

Mazlan, seorang Pegawai Teknologi Maklumat di Maktab Koperasi Malaysia dan aktif bermain badminton serta takraw bertuah kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan buah pinggang selepas adiknya sudi menjadi penderma.

Mohd. Azruldin pula yang bekerja sebagai pengurus kedai cermin mata di Bangi, Selangor tidak berfikir panjang untuk mendermakan buah pinggang kirinya sebaik sahaja dimaklumkan hanya 10 peratus organ abangnya berfungsi.

Sementara itu, ibu Mazlan, Azazah Salleh, 59, ketika ditemui Kosmo! melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan anak-anak yang prihatin dan bertanggungjawab.

"Sebagai ibu, saya amat berharap pembedahan pemindahan ini akan berjalan lancar hingga ke akhirnya.

"Saya ingin lihat kedua-dua anak saya selamat dan sembuh sepenuhnya," katanya. - K! ONLINE