Merujuk kepada demonstrasi meminum kopi pracampur Green 35 yang ditambah bahan peluntur yang tular di media sosial, KKM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan tindakan penguatkuasaan sedang diambil ke atas pihak terbabit.

Mereka yang didapati mengiklankan produk makanan bagi tujuan jualan untuk memperdaya pembeli boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya.

Kopi pracampur Green 35 yang didakwa antiracun dan boleh mengubati pelbagai penyakit, tular di media sosial apabila seorang lelaki melakukan demonstrasi mencampur bahan peluntur ke dalam kopi itu sebelum diminum sebagai bukti keberkesanannya.

Bagaimanapun, KKM berkata, terdapat juga laporan yang mengatakan individu itu mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam meminum kopi berkenaan yang dicampur cecair peluntur. - Bernama