Beliau dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, pada ketika ini kerja-kerja di tapak sedang giat dilaksanakan kecuali yang melibatkan Seksyen 7 iaitu dari Assam Jawa ke Tanjung Karang di Selangor. 

"Menerusi Perjanjian Konsensi Lebuhraya WCE yang ditandatangani pada 2 Jan 2013, lebuhraya WCE dijadualkan siap secara berperingkat antara 2016 hingga 2018.

"Bagaimanapun jadual pembinaan ini telah disemak semula dan lebuh raya itu dijangka siap secara berperingkat bermula 2019, antaranya kerana isu penentuan semula jajaran dan isu tanah," katanya. 

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan lebuh raya WCE melibatkan pihak swasta (pemegang konsesi) iaitu jajaran baharu sepanjang 233 kilometer (km), manakala kerja menaik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5) sedia ada sepanjang 81.5km dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Katanya, bagi pakej di bawah konsesi pembinaan melibatkan jajaran di Selangor sepanjang 93.8 km, manakala jajaran di Perak ialah 139.2 km serta melibatkan kos pembinaan bernilai RM5.044 bilion dengan pecahan mengikut negeri iaitu Selangor dan Perak masing-masing sebanyak RM3.122 bilion dan RM1.922 bilion. 

Pada masa sama, pihak JKR juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan (FR5) bermula dari Tanjong Karang, Selangor sepanjang 50km dan berakhir di Hutan Melintang, Perak serta dari Teluk Intan hingga ke Kampung Lekir, kedua-duanya di Perak sepanjang 31.5 km. - Bernama