Siswazah bidang Kejuruteraan Sivil, Mohamad Hazman Mohamad Yusof, 24 berkata program itu berjaya membantunya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Projek ini membuka peluang kepada saya mendapatkan pekerjaan dan memulakan karier dalam industri teknologi keretapi.

Sebaik sahaja tamat pengajian saya terus mengikuti program ini dan berjaya diserap bekerja bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL)." katanya kepada pemberita pada sesi persiapan Siri Kempen Pengambilan Pekerja ECRL, di Dewan Perhimpunan Cina Bentong, di sini, hari ini.

Manakala, Nur Hamizan Jefry, 25 berkata program itu turut berjaya merapatkan jurang antara  siswazah  lelaki dan wanita dalam bidang berkenaan.

"Ramai berpendapat industri ini sukar untuk golongan wanita, tapi saya membuktikan wanita juga boleh sama hebat dengan lelaki.

Malah, dakwaan projek ini hanya menggajikan warga asing adalah tidak benar, kerana hakikatnya ramai anak tempatan termasuk diri saya terlibat sama dalam projek ini." katanya.

Nor Hamizan dan Mohamad Hazman adalah antara 314 pelatih yang berjaya diserap bekerja menerusi program itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata siri kempen itu menawarkan 500 peluang pekerjaan  dalam pelbagai jawatan.

"Kita harapkan penduduk di kawasan Bentong akan datang ke sesi temu duga terbuka yang diadakan selama satu hari, di sini esok. "Mereka berpeluang untuk mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan," katanya.

Program latihan kemahiran yang diterajui MRL itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2017, bertujuan melatih graduan tempatan sebelum ditawarkan bekerja di MRL, China Communications Construction Company (CCCC) atau sub-kontraktor yang terlibat dalam pembinaan ECRL.

PLKI-ECRL menyasarkan seramai 3,600 pelatih diserap bekerja sepanjang tempoh pembinaan ECRL. - Bernama