Dalam satu surat terbuka kepada MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd (MMC Gamuda) hari ini, Pua, yang juga Ahli Parlimen Damansara, membidas para pengarah MMC Gamuda yang didakwanya "bersikap berpura-pura" sejak keputusan penamatan kontraknya diumumkan. 

Antara dakwaaan yang dibuat oleh MMC Gamuda adalah keputusan menamatkan kontrak itu dibuat dengan tergesa-gesa dan tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya serta akan menyebabkan 20,000 pekerja kehilangan pekerjaan mereka yang sekali gus mendorong kempen untuk merayu rakyat Malaysia menandatangani petisyen "selamatkan 20,000 pekerjaan".  

"Prestasi dan mobilasi kempen tersebut mengagumkan. Persoalan kos projek ini kepada pihak kerajaan langsung tidak dipedulikan," kata Pua.

Beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk bertikam lidah di mata umum tetapi mahu terus menjalin hubungan kerja yang baik bagi menyiapkan projek tersebut.  

Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan keputusan Kabinet untuk menamatkan kontrak kerja bawah tanah MRT2 dengan MMC-Gamuda dan memutuskan untuk menawarkan semula tender semua kerja bawah tanah yang belum siap. 

Justeru, dakwaan penawaran semula tender itu akan menyebabkan 20,000 pekerja hilang pekerjaan, tidak timbul.

"Kepada seramai 20,000 pekerja tersebut, yang menurut MMC Gamuda, akan kehilangan pekerjaan mereka akibat daripada penamatan kontrak bawah tanah itu, biar saya tekankan di sini bahawa kerajaan Malaysia tidak membatalkan projek tersebut. 

"Anda akan mendapat banyak peluang apabila projek baharu itu dijalankan pada kos yang lebih rendah, manakala penjimatan yang diperoleh bermakna akan ada lebih banyak projek pada masa depan," kata Pua.

Barangkali, katanya, daripada memulakan kempen di Change.org untuk meminta kerajaan menarik balik keputusan penamatan itu, mungkin lebih bermanfaat untuk memulakan petisyen meminta pengarah-pengarah di MMC Gamuda memberikan tawaran yang terbaik kepada kerajaan. - Bernama