Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, jumlah itu melibatkan 70 tan daging lembu bagi menampung keperluan masyarakat di negeri ini membuat persiapan juadah sempena Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada Jumaat ini.

"Memang kita tidak sediakan semua bekalan lembu tetapi sekurang-kurangnya kita telah menyediakan satu program iaitu Pantai Perdana, itu yang kita tahu di Negeri Sembilan sahaja ada.

"Kita juga membuat beberapa penambahbaikan yang mana kita menghantar lembu terus ke daerah-daerah bagi mengurangkan kesesakan di sini selain bagi memberi ruang kepada setiap daerah merasai kemeriah program mantai ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Mantai Perdana di Tapak Kem Paroi lama dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan pada program tersebut jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM27 sekilogram bagi daging lembu dan RM34 bagi sekilogram daging kerbau.

"Program mantai pada kali ini turut membuat penambahbaikan dengan menyediakan lorong khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas membeli barangan yang dijual," katanya.

Beliau berkata, program mantai itu juga turut mendapat penglibatan daripada penternak, pekebun dan peladang yang menjual hasil mereka secara terus dari ladang tanpa menggunakan orang tengah dalam urusan jual beli.

Aminuddin juga berkata, program tersebut akan diteruskan pada tahun hadapan sekiranya mendapat sambutan yang baik daripada peladang dan penternak. - Bernama