Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail berkata, peratusan pelajar sekolah menengah hadir pada tahun lalu ialah 89 peratus berbanding 11 peratus yang ponteng sekolah di Perlis.

"Sementara itu, pelajar sekolah rendah pula 92 peratus hadir sementara bakinya lapan peratus ponteng sekolah.

"Kajian awal mendapati, pelajar sekolah ponteng pada Jun dan November iaitu semasa musim perayaan selain faktor kemiskinan membantu kewangan keluarga.

"Namun, kita akan melakukan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) untuk mengenal pasti punca sebenarnya selain merangka program berkesan bagi mengurangkan peratusannya," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui media dalam tinjauan hari pertama persekolahan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Titi Tok Bandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Izmi berkata, seramai 3,882 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 74 buah merangkumi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, Sekolah Pendidikan Khas Perlis, Sekolah Agama Al-Islahiyah dan Sekolah Rendah Islam.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan 40 orang murid berbanding tahun lalu, seramai 3,842 orang murid.

"Seramai 3,842 orang murid itu merangkumi 2,007 murid lelaki dan murid perempuan pula 1,875 orang," katanya. - K! ONLINE