Hari mengundi awal pada 4 September iaitu pada hari Selasa dan jumlah keseluruhan tempoh berkempen ialah 21 hari

Othman berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan yang serupa dengan PRK DUN Sungai Kandis dia itu tambahan dua saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas. 

Tambahnya, SPR juga akan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai dan bagi PRK DUN Seri Setia sebanyak 24 saluran baharu menjadikan keseluruhan 115 saluran berbanding 91 saluran pada PRU-14. 

“Kita juga akan menambah tiga petak undi di dalam tempat mengundi yang mana sebelum ini hanya dua petak undi sahaja disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas SPR berhubung urusan PRK DUN Seri Setia di sini hari ini. 

PRK tersebut diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu. 

Dalam pada itu, Othman  menjelaskan seramai 53,492 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. 

“Pada PRK ini seramai 895 orang Petugas dilantik untuk mengendalikan pilihan raya tersebut manakala 18 buah pusat mengundi yang mengandungi 115 tempat saluran mengundi dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.59 juta,“ jelas beliau. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham Shaharuddin berjaya memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan empat penjuru dengan undi sebanyak 29,250 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), Mohd a. Ghazali Daud (Pas - 4,563), Dr. S. Vines (Bebas - 217). - K! ONLINE