Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, gabungan parti itu tidak akan mudah berasa selesa, walaupun yakin dengan kemampuan Vivian Wong Shir Yee sebagai calon pada PRK itu.

"Kita tidak akan mengambil ringan PRK ini. Kita akan bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan DAP," katanya kepada pemberita selepas program 'Townhall Bersama Rakyat' di sini hari ini.

Pada program itu, Mohd Shafie turut mengumumkan Vivian, 30, akan bertanding merebut kerusi Parlimen Sandakan pada PRK 11 Mei ini.

Vivian Wong Shir Yee
Vivian Wong Shir Yee diumumkan sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan pada majlis pengumuman calon hari ini. - Foto oleh Bernama

 

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang juga bapa Vivian, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Sementara itu, Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiga bahagian UPKO yang berjiran dengan Sandakan iaitu Libaran, Kinabatangan dan Beluran serta para ahli Majlis Tertinggi parti akan turun padang membantu kempen DAP.

Beliau berkata, UPKO Libaran mempunyai 422 anggota yang akan mengundi di Sandakan manakala Kinabatangan dan Beluran pula mempunyai lebih 100 anggota yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan parlimen itu nanti. 

"Kami kenal anggota-anggota UPKO di sini dan kami bersiap sedia melaksanakan strategi sekali gus membantu kemenangan calon DAP kelak," katanya dan menambah UPKO Libaran diketuai Dr Peter Jr Naintin, manakala UPKO Kinabatangan diketuai oleh Datuk Johnny Intang dan Beluran diketuai Felix Joseph Saang. 

Wilfred yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah yakin Vivian memiliki aura kepimpinan ayah beliau, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt kerana sudah berada dalam perjuangan politik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam ketika mendiang Wong sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Vivian merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia dan terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP. - Bernama