Wanita itu, Nur Erina Jamaluddin, 25, dari Kampung Tanjung berkata, dia melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban dua hari lalu. 

"Saya baru dua hari berpantang tetapi, masih mahu mengundi pada hari ini. 

"Hanya saya mengundi di sini, manakala suami mengundi mengundi di Sendayan. Keluarga juga tak menghalang saya untuk melakukan tanggungjawab hari ini namun mereka menasihatkan supaya menjaga diri dan berhati-hati," katanya. 

Dia ditemui pemberita di pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Rantau dekat sini hari ini. 

PRK bagi kerusi DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

BN diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala PH diwakili pakar bius, Dr. S. Streram sementara calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Seremban, Mohd. Nor Yassin dan suri rumah, R.Malar. 

Pilihan raya tersebut diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. - K! ONLINE