Norliyana Mohamad Yazid, 30, dari Bandar Ekar dekat sini hadir di pusat mengundi tersebut pada pukul 11.20 pagi ditemani pasangannya, Mohamad Adham Adnan, 36, berpakaian raja sehari berwarna biru gelap. 

Wanita yang merupakan pekerja swasta itu berkata, dia menzahirkan perasaan gembira apabila hari mengundi berjalan serentak dengan majlis kenduri mereka sebelah suami yang berlangsung di Paroi dekat Seremban. 

"Saya amat gembira majlis perkahwinan kami berjalan serentak dengan PRK DUN Rantau hari ini. Tarikh ini memang pihak lelaki dah pilih lama memang kebetulan, jadi tidak boleh tunda dan terpaksa teruskan. 

"Saya rasa sedikit gementar untuk mengundi hari ini kerana kami hadir memakai pakaian pengantin  sehingga menjadi perhatian orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi di Sekolah berkenaan hari ini. 

Norliyana memaklumkan, majlis akad nikah mereka berlangsung pada 23 Mac lalu dan majlis kenduri di kediaman pengantin perempuan diadakan pada 24 Mac lalu. 

PRK bagi kerusi DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

BN diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala PH diwakili pakar bius, Dr. S. Streram sementara calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Seremban, Mohd. Nor Yassin dan suri rumah, R.Malar. 

Pilihan raya tersebut diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. - K! ONLINE