Pekerja swasta, Abdul Halim Hafis Mohd. Yusof, 43, kelihatan bersemangat menunaikan kewajipannya sama seperti kebanyakan pengundi di kawasan tersebut. 

Perasaan sama turut dirasai isterinya, Khadijah Abu Samah, 43, yang merupakan guru pendidikan khas apabila memaklumkan dia sekali lagi mendapat peluang untuk mengundi kali ini. 

"Alhamdulillah, kami dapat mengundi hari ini, memang bersemangat dan teruja dapat balik kampung untuk menunaikan tanggungjawab. 

"Tiada sebarang halangan dan semuanya dipermudahkan malah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya jugak banyak membantu," kata wanita itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Sementara itu, Abdul Halim Hafis memberitahu, mereka bergerak dari Bukit Mahkota, Bangi di Selangor sejak awal pagi untuk pulang mengundi hari ini. 

"Saya harap mana-mana calon yang terpilih nanti dapat membela nasib orang Rantau dan menjadi pemimpin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sepenuhnya," ujarnya. 

PRK bagi kerusi DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas.

BN diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala PH diwakili pakar bius, Dr. S. Streram sementara calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Seremban, Mohd. Nor Yassin dan suri rumah, R.Malar. 

Pilihan raya tersebut diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. - K! ONLINE