PH meletakkan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran sebagai calon, manakala BN diwakili bekas pegawai kanan polis, Datuk Mohd. Ramli Nor.

Dua calon bebas, masing-masing anak jati Parlimen Cameron Highlands iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab. Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40.

Kesemua nama calon diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ishak Md. Napis kira-kira sejam selepas pusat penamaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah ditutup tepat pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas yang sebelum ini menyatakan hasrat bertanding, pada saat akhir mengumumkan di sebaliknya kepada pemberita dan menyatakan sokongan kepada calon PH serta Bebas, ketika hadir di pusat penamaan calon kira-kira pukul 9.30 pagi.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (Pas/3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi). - Bernama