Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyambut ketibaan Jae-in dan pasangannya Kim Jung-sook pada pukul 10.06 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

Sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkekuatan seramai seorang pegawai dan 44 anggota lain-lain pangkat diketuai Lt Mohd Shamram Ramli disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Jae-in kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada enam pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion RAMD berpangkalan di Kem Perdana Sg Besi yang diketuai Mejar Mohd Izham bin Ahmad Rashidi. - Bernama