Prayut mendapat perkenan raja sebagai perdana menteri pada satu upacara ringkas di Rumah Kerajaan di sini hari ini. 

Pada majlis pelantikan diraja, Prayut melafazkan ikrar di hadapan potret Raja Maha Vajiralongkorn.

Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung menerusi stesen TV kebangsaan, Prayut menegaskan bahawa beliau akan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dengan kejujuran dan integriti demi negara dan rakyat di negara yang mengamalkan sistem beraja itu.

"Saya akan mendengar suara rakyat sambil memenuhi kewajipan saya untuk bergerak maju dan membangunkan negara dalam semua aspek ekonomi dan sosial termasuk membasmi rasuah, mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya sektor pertanian dan perdagangan, melalui perbelanjaan kerajaan yang efektif dan telus. 

"Saya akan meningkatkan keupayaan sumber insan kita dan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

"Saya juga akan mewujudkan persekitaran yang aman untuk masyarakat yang bersatu-padu berdasarkan semangat kasih sayang, perpaduan dan belas kasihan. Saya akan memperhakankan maruah institusi negara, agama dan monarki yang menjadi lambang perpaduan rakyat Thailand, " katanya selepas upacara itu di sini hari ini.

Turut hadir pemimpin dan wakil parti-parti gabungan yang diketuai oleh Palang Pracharat (PPRP) yang pro tentera. Bagaimanapun, pemimpin Parti Demokrat, Jurin Laksanavisit tidak hadir.

Pada 5 Jun, Prayut dipilih melalui pengundian sebagai perdana menteri, lima tahun selepas beliau merampas kuasa dalam rampasan kuasa tentera pada 2014.

Prayuth, satu-satunya calon perdana menteri yang mendapat restu Parti Palang Pracharat (PPRP)' memperoleh 500 undi, menewaskan pencabarnya dari Barisan Demokratik, Thanathorn Juangroongruangkit yang mendapat 244 undi. - Bernama