Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, potongan itu dapat dilaksanakan selepas permohonan NIOSH untuk menjadi institut latihan di bawah Skim Galakan Potongan Cukai Dua Kali mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lepas.

"Selaras dengan Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Untuk Latihan Yang Diluluskan) 1992, syarikat yang menghantar pekerja mereka untuk mengikuti latihan di NIOSH boleh mendapat faedah tersebut untuk perbelanjaan latihan termasuk kos yuran, pengangkutan, penginapan dan tuntutan perbelanjaan lain yang berkaitan.

"Inisiatif ini akan menggalakkan majikan untuk memberi latihan kepada pekerja mereka dan meringankan beban majikan yang kurang berkemampuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, kursus-kursus yang diluluskan untuk pemotongan cukai dua kali ialah Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS), Juruteknik Higen Industri 1, Juruteknik Higen Industri 2 dan Latihan untuk Jurulatih.

Majikan dan pekerja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi ibu pejabat NIOSH di talian 03-87692100. - Bernama