Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan ujian deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Pihak polis juga giat menjalankan siasatan bagi mendapatkan butiran lanjut berhubung identiti mangsa dengan merujuk laporan kes orang hilang di kawasan setempat sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 10 pagi semalam, juruukur terbabit dikatakan menemui mayat berkenaan ketika sedang membuat kerja-kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan universiti terbabit. Katanya, tempat kejadian adalah dalam anggaran jarak satu kilometer dari padang ragbi dan kira-kira 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang eletrik.

"Juruukur itu bersama rakannya sedang mengukur kawasan berkenaan apabila dia terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu check point. “Dia kemudiannya menghampirinya dan menjumpai beberapa tulang besar dibalut dengan selimut yang disyaki tulang manusia,” katanya.

Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan mayat itu ditinggalkan di lokasi berkenaan kira-kira setahun sebelum ditemui. "Barangan yang ditemui di lokasi kejadian termasuklah sebentuk cincin, gelang, jaket berwarna gelap, pengikat rambut dan sepasang selipar bersaiz enam.

“Antara barangan lain yang dihantar ke Hospital Serdang ialah tali pinggang bewarna hitam, pakaian dalam serta sehelai selimut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Wan Azirul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE