Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis terpaksa menembak tayar kereta lelaki berkenaan selepas suspek enggan berhenti walaupun telah diarahkan berbuat demikian beberapa kali.

“Suspek juga memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kejadian pada pukul 9.30 malam itu, Che Zamani berkata, terdahulu sepasukan polis mengesan lelaki berusia 29 tahun tersebut sedang memandu di kawasan berkenaan dan cuba menahannya untuk membuat pemeriksaan.

"Namun lelaki itu yang menyedari kehadiran pihak polis bertindak memecut laju kereta dipandunya sehingga melanggar sebuah motosikal dan kereta semasa dikejar polis. Pemandu dua kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Che Zaimani berkata, selepas terkena tembakan, kereta suspek melanggar kenderaan lain sebelum lelaki itu keluar daripada keretanya dan melarikan diri ke Jalan Sungai Pinang, di sini sebelum dikejar polis yang berjaya menahannya tidak jauh dari lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Suspek juga baru sahaja tamat parol pada 26 November lepas atas kesalahan jenayah," katanya sambil menambah lelaki yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut. - Bernama