Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, beliau berharap rakaman CCTV itu dapat membantu pihak polis dalam meneruskan siasatan kemalangan tersebut.

Jelasnya, polis juga sedang mengenal pasti punca kejadian tersebut melalui keterangan daripada mangsa yang terselamat dalam nahas itu.

"Sehingga semalam, seramai enam mangsa yang selamat telah memberi keterangan dan kita menjangkakan sembilan orang lagi akan memberi keterangan hari ini.

"17 mangsa yang selamat sedang dirawat di wad Hospital Serdang iaitu tujuh orang, Hospital Putrajaya (6), Hospital Banting (2), Hospital Kajang (1) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (1)," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Zulkifli, tiga daripada enam mangsa yang dirawat di Hospital Putrajaya kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun mereka dilaporkan stabil.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan seramai 11 pekerja asing dan seorang pemandu bas terbunuh selepas bas kilang yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam longkang.

Kejadian tersebut berlaku ekoran bas tersebut dipercayai tersilap jalan dengan mengambil laluan lain untuk menghantar 43 orang pekerja ke MASkargo.

Nahas itu mengorbankan lapan lelaki dan empat wanita masing-masing warga Indonesia, dua warga Nepal, lima warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan.

Mengulas lanjut, jelas Zulkifli, sehingga semalam , 10 daripada 12 mayat mangsa termasuk pemandu bas yang maut telah menjalani proses pengecaman di hospital.

Jelasnya, dua lagi mayat masih belum menjalani proses pengecaman ekoran tiada rakan atau saudara-maranya tampil untuk membantu. - K! ONLINE