Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan mendapati bayi perempuan tersebut dilahirkan kelmarin kira-kira pukul 11.30 pagi oleh suspek yang berusia 17 tahun.

“Remaja tersebut dipercayai telah menutup mulut bayi dengan tuala dan membalut tubuhnya degan selimut lalu dimasukkan ke dalam sebuah beg.

“Beg tersebut kemudiannya dimasukkan dimasukkan ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumahnya bersama sampah yang lain. Plastik itu telah diambil oleh bapa suspek yang berusia 43 tahun dan diletakkan di rumah sampah berhampiran kawasan perumahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan menambah, bapa suspek wanita dan teman lelakinya telah direman bermula hari ini hingga esok manakala remaja wanita itu direman sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Bedah siasat terhadap bayi perempuan itu akan dijalankan pada hari ini di Hospital Putrajaya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Roslina Atan di talian 019-2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 sambungan 584 atau 585 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kosmo! Online semalam melaporkan pekerja yang melakukan kutipan dan pembersihan sampah di sebuah kuarters di Putrajaya dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan di dalam lori sampah pagi semalam. - K! ONLINE