Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang diberkas itu dipercayai merupakan suspek utama yang memecah masuk Masjid Ar-Rahmaniah, Felda Lasah dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Rozemi Ismail berkata, dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, tabung masjid yang mengandungi wang tunai berjumlah RM400 telah dicuri oleh suspek.

Jelasnya, tiga suspek itu turut membuka empat buah unit kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di ruang solat dan luar masjid tersebut agar kegiatan mereka tidak dirakam.

“Bendahari masjid tersebut menyedari kejadian tersebut sewaktu tiba di masjid untuk menunaikan solat subuh awal pagi tadi.

“Berdasarkan keterangan bendahari masjid itu, masjid itu tidak berkunci agar ia memudahkan orang ramai untuk menunaikan solat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Rozemi, hasil siasatan menerusi rakaman CCTV mendapati terdapat tiga orang lelaki telah datang ke masjid berkenaan dengan membawa sebatang besi kuku kambing untuk mengumpil mangga tabung masjid.

Menurut Rozemi, siasatan polis mendapati ketiga-tiga suspek merupakan penagih dadah.

Jelasnya, polis sedang giat mengesan dua lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - K! ONLINE