Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kedua-dua lelaki berusia 18 tahun itu, ditahan pada pukul 11 malam tadi susulan laporan yang dibuat bapa mangsa.

"Polis menerima laporan yang dibuat bapa mangsa semalam setelah bapanya melihat dan menyedari video buli yang tular di laman sosial facebook dan aplikasi WhatsApp  adalah anaknya yang  merupakan seorang OKU yang mengalami masalah pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua lelaki berkenaan ditahan di Taman  Gunung Lambak, dekat Kluang, dan hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua mereka turut didapati positif dadah jenis "Meth".

Mohamad berkata, bapa mangsa turut memaklumkan bahawa anaknya juga mengadu kedua-dua lelaki itu mengambil sebuah telefon bimbit jenis Samsung, wang tunai RM20 dan sebuah beg sandang milik mangsa.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama empat hari sejak semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat.

Semalam, satu video buli tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki OKU dibuli dua individu menggunakan sebatang kayu di sebuah taman permainan kanak-kanak. -- Bernama