Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd. Haris Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, polis telah menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden berkenaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

"Pada jam lebih kurang 10.05 pagi, polis Penampang menerima satu laporan bahawa seorang tentera telah tertembak rakannya sendiri semasa acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

"Siasatan awal mendapati, pada jam lebih kurang 8.25 pagi, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar telah meninggal dunia semasa melakukan acara berkenaan," katanya.

Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mohd. Haris berkata, ketika kejadian mangsa telah tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter menggunakan senjata api semasa acara itu.

Sementara itu, Mohd. Haris ketika dihubungi pemberita berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis akan merampas senjata dalam insiden berkenaan.

Berikutan insiden berkenaan, Mohd Zahir yang juga seorang pegawai tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini (HQE).

Allahyarham adalah anak kepada pengarah dan pelakon AR Badul atau Armaya.

Sementara itu, di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, suasana hiba menyelubungi perkarangan hospital berkenaan apabila anggota keluarga arwah tiba di hospital berkenaan sejak pagi tadi.

Tinjauan pemberita mendapati turut berada di perkarangan hospital ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah dan beberapa anggota tentera.

Bapa saudara kepada Allahyarham, Ansari Abdullah berkata beliau mendapat tahu mengenai perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh ibu Mohd Zahir, Rusunjan Mohamad pagi tadi. - Bernama