Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, polis mengambil maklum tentang penyiaran berita palsu itu hari ini, yang diiringi tiga gambar berkaitan kes bunuh di Miri yang mana seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan mati di dalam but kereta.

"Catatan itu jelas karut dan polis telah memulakan siasatan terhadap pemegang akaun Facebook berkenaan kerana menyebarkan berita palsu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dev juga mengingatkan netizen supaya tidak berkongsi berita palsu itu kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang dan polis sedang menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan.

"Perbuatan membuat dan menyebarkan berita palsu yang menimbulkan ketakutan adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998)," katanya. - Bernama