Dakwaan itu melibatkan seorang pegawai yang mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman ketika melakukan pemeriksaan mata di sebuah kedai cermin  mata di kompleks beli-belah Solaris Dutamas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atas kesalahan menggunakan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan kes tersebut kerana ia masih berada dalam proses siasatan.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superitendan Azrizal Khairul Abd. Kadir di talian 019-2769 117 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2233,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan kejadian tersebut tular selepas rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit 46 saat itu dikongsi dalam media sosial.

Sementara itu, Azis melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya malam tadi berkata, beliau memandang serius tindakan pegawainya yang disifatkan terkutuk dan keji serta memohon maaf. - K! ONLINE