Jelas beliau, pemasangan kawat berduri itu adalah persiapan biasa untuk menjamin keselamatan beberapa kawasan secara sementara sehingga kerajaan baru dibentuk. 

“Apabila selesai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah, maka Kerajaan baru telah diumumkan. 

“Oleh itu, pada jam empat petang tadi, kita mula menarik balik sekatan jalan dan seterusnya memulakan menarik balik kawat berduri sepenuhnya,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp disini sebentar tadi. 

Hari ini beberapa portal berita melaporkan tentang pemasangan kawat berduri di hadapan pejabat Peguam Negara selepas Perdana Menteri dalam satu sidang akhbar memberitahu Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali akan disiasat berhubung salah laku. 

Bagaimanapun, Rosly berkata, pihak polis sebenarnya telah memasang penghadang dan kawat berduri dibeberapa lokasi semasa hari penjumlahan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14. 

Jelas beliau, semasa proses penamaan calon, polis memasang penghadang dan kawat berduri untuk memisahkan parti- parti yang bertanding pada jarak 50 meter dan ia dibuka semula selepas selesai proses penamaan calon.

“Pada hari penjumlahan undi kami juga tutup jarak antara parti dan tempat penjumlahan undi dengan penghadang dan kawat berduri. Selepas penjumlahan undi, ianya dibuka semula,” jelasnya. - K! ONLINE