Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, terdapat saksi yang tampil secara sukarela dan ada juga yang diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Pihak kami telah merakamkan percakapan mereka dan akan ada lagi saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan terhadap kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut akibat satu perselisihan faham berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan suspek yang berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala Selatan.

Laporan itu yang memetik Fadzil berkata, kereta mangsa dipercayai melanggar belakang kereta suspek menyebabkan dia dikejar dan berlaku cabar-mencabar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Southville City.

“Seterusnya berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa. Pengguna jalan raya yang lain turut berhenti bagi menenangkan mereka berdua dan kemudiannya mereka berdua kembali ke kereta masing-masing.

“Mangsa yang tidak berpuas hati telah keluar dari keretanya dengan membawa kayu besbol sebelum memukul bahagian hadapan kereta suspek dan suspek yang memandu dengan tergesa-gesa telah terlanggarnya menyebabkan dia tersepit antara kereta suspek dan penghadang jalan,” katanya.

Memetik laporan itu lagi, mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Suspek dan isterinya yang berusia 36 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mereka telah direman selama tujuh hari bermula semalam (kelmarin) hingga 17 Ogos ini,” ujarnya. - K! ONLINE