Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, tindakan sedemikian adalah wajar kerana pihak berkuasa kini dilihat seolah-olah 'berlembut' dalam menangani isu Musa.

Tambahan pula, Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi memaklumkan, belum tiba masanya untuk menghantar anggota pasukan ke sana (United Kingdom) dan membawa pulang Musa ke Malaysia.

"Beliau (Musa) sentiasa menafikan tidak bersalah. Justeru, sekiranya tidak bersalah pulanglah beri kerjasama untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Mohd. Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar memberitahu, beliau yakin pihak PDRM tahu langkah seterusnya yang perlu diambil.

"Jika pihak polis berjaya membawa pulang Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dari Indonesia maka perkara yang sama wajar dilakukan terhadap Musa.

“Tindakan drastik perlu diambil. Jika Musa tidak pulang, kita yang perlu ke sana. Jangan nampak kita seolah-olah berlembut dalam kes ini," tegasnya.

Pada 26 Jun lalu, Musa mengesahkan beliau kini berada di United Kingdom untuk menjalani rawatan kesihatan sekali gus menafikan dakwaan meninggalkan negara secara tidak sah sehingga menjadi buruan pihak berkuasa. - K! ONLINE