Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu kerana suspek menyerang seorang lelaki di lokasi lain sebelum menyerang keluarga tersebut.

"Siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian kerana mengikut saksi, suspek dikatakan memanggil nama bapa mangsa sebelum tendang pintu dan menerjah masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kata beliau, suspek yang direman selama tujuh hari bermula hari ini itu juga belum memberikan kerjasama kepada polis. 

"Walaubagaimanapun kita berjaya mendapat beberapa keterangan membabitkan senjata yang digunakan sebelum merampas dua bilah parang di tepi jalan dan di dalam rumahnya," ujarnya.

Menurut Mior Faridalathrash, suspek dan bapa mangsa mengenali antara satu sama lain kerana rumah mereka terletak berhampiran iaitu kira-kira 300 meter.

"Semakan juga mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah berkaitan dadah dan dipercayai tinggal berseorangan selepas berpisah dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu," katanya.
Tambahnya, polis akan memanggil semua saksi kejadian untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

"Saya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sendiri berhubung kejadian sehingga siasatan polis selesai," katanya. - K! ONLINE